Friday, 1 April 2016

DAKWAH GUNA SENI BUDAYA


Dr Yusof al-Qaradhawi, dalam Fiqh Awlawiyaat (Fikih Keutamaan) mencadangkan agar pendakwah mendekati komuniti masyarakat seni.  Antara yang dicadangkan ialah menyediakan tenaga-tenaga Muslim yang cekap, mahir dan profesional dalam bidang seni dan media, penyiaran, media kreatif, dan mereka yang berbakat untuk bergiat dalam bidang seni suara, muzik, teater dan perfileman yang mampu berkarya, menerbit dan megimarahkan dunia media dan penyiaran.

Dengan mendekati masyarakat seni yang menguasai bidang hiburan dan media supaya mereka lebih cenderong kepada agama. Masih banyak di kalangan artis yang masih menjaga solat, kerap mengerjakan umrah dan haji, berpuasa dan berzakat, tapi sayang fikrah mereka terhadap Islam masih cetek. 

Maka pendekatan yang betul ialah mendekati dunia artis, bukan memulau dan menjauhi atau lebih parah menghukum mereka. 

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia.

Aktiviti kesenian adalah sebahagian daripada rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan.

Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak.

Dalil keharusan berhibur dapat difahami melalui hadis Rasulullah SAW kepada Abdullah bin Amr bin Al-As yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah, dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut." 

No comments:

Post a Comment