Tuesday 31 May 2016

Khasiat teh hijau

Teh untuk kesihatan. Teh hijau telah digunakan sejak ribuan tahun lalu disebabkan khasiatnya yang pelbagai. Antara manfaat teh hijau ialah membantu menurunkan berat badan. 

Teh hijau juga antara minuman yang boleh membantu meningkatkan kadar metabolisme badan kita. Dengan mengamalkan minum teh hijau setiap hari mampu membakar lemak dengan lebih cepat.

Teh ini amat sesuai untuk membakar kalori  dengan menghalang penyerapan lemak arteri dan kolesterol. Teh hijau juga membantu meningkatkan tenaga secara menyeluruh dan juga untuk mengurangkan selera makan. 

Teh hijau sangat terkenal dalam kalangan orang Jepun, dan ia juga dikatakan dapat membantu kita meredakan tekanan (stress).

Satu penyelidikan yang di buat oleh International Journal of Obesity telah membuat kesimpulan berdasarkan kajian mereka bahawa ekstrak teh hijau mampu meningkatkan pembakaran kalori dan lemak dalam badan. 

Selain itu antioksidan yang terdapat di dalam teh hijau boleh membnatu mencegah kanser dan  juga penyakit jantung.

Kebaikan amal minum teh hijau amat banyak. Khasiat teh hijau amat berkesan halang badan serap gula. Sebab itu, teh hijau amat baik untuk pengidap kencing manis. 

Kandungan gula dalam badan dapat dikurangkan dan sekaligus mengurangkan kompliksi penyakit kencing manis.  

Minum teh hijau satu proses mengawal, merawat dan memulih penyakit kencing manis. Penderitaan pesakit kencing manis dapat dikurangkan dan seterusnya pulih selepas mengamalkan teh hijau.

Keistimewaan teh hijau amat berkesan untuk kesihatan menyeluruh. Khasiat teh hijau jadi pilihan mereka pentingkan kesihatan. Hidup lebih sihat dan tenang.  

Teh hijau terkenal dengan kelebihannya untuk meningkatkan metabolisme badan serta mempercepatkan proses penghadaman supaya lemak-lemak tidak dapat terkumpul. Jadi, ia berupaya mengawal dan merendahkan tahap kolesterol dalam badan.  

Keupayaan teh hijau menyerap gula bukan saja dapat mengatasi masalah kencing manis, bahkan juga dapat mengawal masalah berat badan berlebihan. Kegemukan antara lain berpunca pengambilan gula secara berlebihan.  

Gula dalam bentuk karbohidrat yang digunakan oleh badan akan ditukar menjadi lemak yang menjadi punca kegemukan. Jadi, apabila gula kurang diserap oleh badan, maka secara langsung dapat juga mengurangkan masalah kegemukan.

Masyarakat Malaysia memang terkenal suka mengamalkan minuman dan makanan yang manis-manis. Amalan itu tidak baik tetapi telah menjadi tabiat yang sukar dielakkan. 

Gula sebenarnya dianggap oleh pakar pemakanan sebagai racun yang tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam badan secara berlebihan.  

Jadi, sesiapa yang sukar menghentikan tabiat mengambil makanan dan minuman manis perlu memikirkan cara mana agar gula yang masuk ke dalam usus tidak diserap oleh badan. Caranya tentu dengan mengamalkan meminum teh hijau.  

Khasiat teh hijau:
- Dapat mengelak pengambilan gula berlebihan.
- Mengurangkan risiko diabetes.
- Mengatasi masalah berat badan.
- Membantu kesihatan usus. 
- Mengandungi 100% bahan herba semula jadi.
- Tiada kandungan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan.
- Menyekat lemak dan penyerapan gula berlebihan.
- Membantu menghentikan kesan dahaga akibat kepanasan.
- Melegakan keletihan.
- Menstabilkan glukosa darah.
- Mengurangkan resiko sakit jantung.
- Mengurangkan gejala koronari.
- Mengelak alzheimer.
- Mewujudkan perasaan tenang.
- Meningkatkan metabolisma badan.
- Mengelak gangguan usus.
- Tingkat tumpuan daya berfikir.
- Anti kanser.
- Penghasilan tenaga.
- Bendung rasa 'ketagih' gula.
- Agen antioksida.
- Singkir kolestrol.
- Meningkatkan fungsi pankreas.


Hubungan nafsu dengan akal

Apabila disebut nafsu, ramai beranggapan ia sesuatu yang buruk. Sebenarnya nafsu bukan saja mendorong manusia melakukan keburukan, tetapi nafsu juga membawa manusia ke jalan kebaikan.  

Hakikatnya, manusia dibekalkan hawa nafsu (nafsu) sebagai pendorong melakukan sesuatu. Nafsu menjadikan manusia sentiasa mempunyai cita-cita, kehendak, matlamat, keyakinan, kepercayaan dan cara hidup. 

Allah menyebut mengenai nafsu baik yang dipanggil nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah memberi kebaikan kepada sesiapa memilikinya. Allah menjanjikan kedudukan tertinggi kepada hamba-Nya yang memiliki nafsu mutmainnah atau jiwa tenang.

Firman Allah bermaksud: “ Wahai nafsu mutmainnah, kamu kembali kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai Allah. Maka masuklah kamu ke dalam hamba-Ku yang beramal salih, nescaya kamu akan ditempatkan di dalam syurga-Ku.” - (Surah al-Fajr, ayat 27-30).

Kesan buruk berpunca daripada nafsu ialah akibat ia sentiasa keluh resah. Kehendak nafsu sentiasa dalam keadaan membara dan tidak terkawal. Kehendak ini mudah menjurus kepada kesan buruk dan merugikan. Nafsu buruk dikuasai oleh hasutan syaitan.
 
Sebenarnya kekuatan dan kelemahan kedua-dua nafsu tersebut dikawal oleh akal dan naluri manusia secara beriringan. Akal dan naluri kemanusiaan menentukan ke arah nafsu manakah yang lebih menguasai diri. 

Kebijaksanaan akal dan kekuatan naluri kemanusiaan mengawal nafsu ke arah pemikiran menyeluruh yang memberi nilai tambah kepada kebaikan kehidupan manusia. Manusia berakal kuat menjadikan nafsu sebagai pemangkin melakukan kebaikan. Nafsu dikawal akal sentiasa tidak puas melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, akal jumud dan naluri kebinatangan membawa manusia menempuh kehidupan dalam kegelapan. Akal dikuasai  nafsu kebinatangan tidak mengenal mana yang baik dan mana yang buruk. 

Hakikatnya, nafsu baik dan buruk saling mempengaruhi akal dan naluri untuk memutuskan apakah akan dilakukan. Akal yang dikuasai nafsu baik akan sentiasa terdorong melakukan ketaatan kepada Allah dan menolak unsur keburukan. 

Kekuatan akal menolak keburukan berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan. Insan beriman dikuasai oleh akal yang baik. Sesungguhnya akal yang sentiasa diasuh dengan keimanan dan budi pekerti baik tidak akan mudah terpedaya hasutan syaitan melakukan perbuatan buruk. 

Malah, perbuatan baik yang sebati dalam diri menguasai diri sehingga perbuatan itu begitu mudah untuk dilakukan. Ia menjadi lambang akhlak orang mukmin. Menurut Imam al-Ghazali: “Akhlak ialah sifat yang tertanam di dalam jiwa yang menimbulkan segala perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan fikiran dan pertimbangan.”

Sebaliknya jika fikiran dan naluri dikuasai nilai kejahatan dan sifat kebinatangan, maka tindakan yang dilakukan sudah pasti menyebabkan kesan buruk. Orang bertuhankan kepada nafsu kebinatangan tidak menggunakan kewarasan akal. 

Nafsu buruk membawa manusia menempuh alam kebinasaan di dunia dan menuju ke neraka di akhirat. Orang bernafsu buruk tidak pernah merasai nikmat kehidupan sebenar. Semakin banyak yang diperolehi semakin dirasakan tidak mencukupi. 

Nyata sekali kekuatan hidup manusia bergantung kepada keberkesanan akal memimpin memilih yang terbaik. Walaupun semua manusia dibekalkan dengan otak, tetapi tidak semua menggunakan akal. 

Hakikatnya, di antara otak dengan akal adalah dua perkara berbeza. Otak merupakan sebahagian daripada organ yang terdapat dalam badan manusia. Otak juga terdapat pada haiwan. Otak berfungsi mengawal tugas dan sistem badan. 

Manakala akal pula satu kurniaan Allah paling berharga kepada manusia. Manusia diangkat ke darjat tertinggi berbanding makhluk lain disebabkan dikurniakan akal dan nafsu sekaligus. 

Malaikat hanya dibekalkan dengan akal. Sebab itu malaikat sentiasa patuh kepada Allah dan tidak terdorong melakukan sesuatu bertentangan yang dikuasai nafsu.   

Sedangkan haiwan pula hanya mempunyai nafsu. Haiwan tidak dikehendaki melakukan ibadat dan tidak diberikan balasan pahala dan dosa. Allah mencipta haiwan untuk manfaat kepada manusia dan sebagai perbandingan antara keduanya.    

Justeru, manusia perlu menggunakan kelebihan akal yang dikurniakan Allah. Jangan persia-siakan kelebihan akal. Sesiapa tidak menggunakan akal, lebih tepat dipanggil orang tidak berakal. Orang tidak berakal menjalani kehidupan lebih hina daripada haiwan.

Monday 23 May 2016

Dengki ikut sifat syaitan

Sifat dengki adalah sifat utama syaitan. Setan tergolong hambar ingkar disebabkan adanya perasaan dengki dengan keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada manusia. Sebab itu syaitan selalu berniat jahat terhadap manusia.

Sikap syaitan (iblis) itu dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Kami berkata kepada malaikat: Sujudlah kepada Adam, lalu ia sujud kecuali iblis yang telah enggan dan bersikap angkuh. (Dengan sebab itu) maka jadilah mereka dari golongan yang kufur terhadap Allah.”

Sifat dengki juga ada pada manusia yang didalangi oleh syaitan. Orang yang mengamalkan sikap berdengki adalah kawan syaitan yang paling akrab. Syaitan mudah mempengaruhi manusia melakukan kejahatan dengan menimbulkan sikap dengki.

Dengki ialah perasaan cemburu dengan niat jahat terhadap orang lain. Perasaan dengki menyebabkan seseorang akan berusaha menghilangkan atau menghalang kebaikan orang lain. Individu mengamalkan dengki tidak senang hati jika orang lain lebih baik daripadanya.

Sifat suka berdengki amat buruk. Rasulullah SAW mengumpamakan sifat dengki sebagai penyakit yang mudah berjangkit. 

Syaitan menyedari betapa kesan buruk akibat sikap dengki. Sebab itu, syaitan amat mengharapkan agar manusia turut melakukan sifat itu.

Individu yang tidak mempunyai pegangan iman yang kuat dapat dipengaruhi dengan mudah oleh syaitan agar mengamalkan sifat dengki. Manusia yang mengamalkan sifat dengki amat mudah dipengaruhi oleh syaitan untuk melakukan pelbagai kejahatan lain, sehinggakan sanggup melakukan pembunuhan.

Malah, sejarah pembunuhan pertama sesama manusia adalah berpunca dari adanya sifat dengki. Qabil membunuh Habil kerana berasa dengki terhadap Habil yang dapat mengahwini kembar Qabil yang cantik, sedangkan dia terpaksa berkahwin dengan kembar Habil yang hodoh.

Begitulah buruknya akibat sifat dengki. Sifat syaitan yang telah membawa keburukan kepada dirinya sendiri dan orang lain. Oleh itu umat Islam ditegah sama sekali dari mengamalkan sifat dengki. 

Permulaan perasaan dengki syaitan terhadap manusia bermula apabila mengetahui Allah mahu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Syaitan berdengki kepada manusia kerana merasakan dirinya lebih layak untuk menjadi khalifah di muka bumi. Syaitan berasa megah dan lebih mulia daripada manusia kerana dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah hitam.

Hubungan akrab elak wujud dengki


Untuk meningkatkan kejayaan dan kualiti hidup ummah, sifat dengki perlu dihapuskan sama sekali.  Islam mementingkan sifat tolong menolong yang membawa kepada kejayan yang lebih baik. 

Sekiranya ada di kalangan kita mendapat kejayaan, hendaklah membantu agar kejayaan diperoleh itu semakin baik. 

Kejayaan yang diperoleh seseorang lain lambat laun manfaatnya dapat dinikmati orang lain juga. Hidup kita saling berkait yang memberi kesan kepada orang lain. Sebab itu, jika  antara kita mendapat kejayaan bolehlah dianggap kejayaan kita semua.

Sebenarnya ramai orang sedar keburukan dengki. Tetapi disebabkan kurang keimanan di dalam diri, syaitan mudah mempengaruhi agar mudah menyimpan perasaan dengki dan dendam. 

Penyakit dengki telah menyebabkan banyak umat terdahulu menerima nasib buruk. Masyarakat menjadi kucar kacir dan hanya mementingkan diri sendiri disebabkan merebaknya sifat dengki. 

Menurut Imam al-Ghazali, dengki adalah hasil daripada kesan dendam yang tercela. Bagi sifat dengki ini ada pelbagai cabangnya yang terkeji pula, sehingga tidak terhitung banyaknya.

Sebab itu orang berdengki akan menzahirkan melalui perbuatan mencaci, mencarut, dusta, fitnah, tuduhan melulu, tidak mengaku kelemahan sendiri dan meletakkan kesalahan ke atas pihak lain.

Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh.

Pembunuhan pertama sesama manusia berpunca perasaan dengki. Peristiwa itu melibatkan Qabil dan Habil, dua anak Nabi Adam yang berebut pasangan untuk dijadikan isteri. Kisah tersebut dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah, ayat 27 bermaksud: “....Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!.”

Api kemarahan dan dengki Qabil tidak dapat dikawal sehingga sanggup membunuh Habil. Sejarah itu menjadi panduan syaitan mencari kelemahan manusia dan menggunakan sepenuhnya untuk merosakkan manusia. 

Syaitan menjadikan dengki sebagai azimat paling berkesan melaga-lagakan manusia agar sentiasa bermusuh-musuhan dan melakukan khianat di muka bumi, sekaligus ingkar kepada perintah Allah.

Hati orang berdengki mudah mati hatinya. Hati yang mati tidak lagi dapat melihat kebaikan di sekelilingnya. Semakin banyak sifat dengki diamalkan, semakin keras hatinya daripada menerima cahaya kebenaran. 

Hati yang mati lebih keras daripada batu. Ia tidak lagi dapat memberi apa-apa kebaikan, melainkan dilembutkan kembali dengan taubat dan kembali ke jalan yang benar. Hati yang keras tidak dapat merasai kemanisan sebenar kehidupan.