Tuesday 31 May 2016

Hubungan nafsu dengan akal

Apabila disebut nafsu, ramai beranggapan ia sesuatu yang buruk. Sebenarnya nafsu bukan saja mendorong manusia melakukan keburukan, tetapi nafsu juga membawa manusia ke jalan kebaikan.  

Hakikatnya, manusia dibekalkan hawa nafsu (nafsu) sebagai pendorong melakukan sesuatu. Nafsu menjadikan manusia sentiasa mempunyai cita-cita, kehendak, matlamat, keyakinan, kepercayaan dan cara hidup. 

Allah menyebut mengenai nafsu baik yang dipanggil nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah memberi kebaikan kepada sesiapa memilikinya. Allah menjanjikan kedudukan tertinggi kepada hamba-Nya yang memiliki nafsu mutmainnah atau jiwa tenang.

Firman Allah bermaksud: “ Wahai nafsu mutmainnah, kamu kembali kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai Allah. Maka masuklah kamu ke dalam hamba-Ku yang beramal salih, nescaya kamu akan ditempatkan di dalam syurga-Ku.” - (Surah al-Fajr, ayat 27-30).

Kesan buruk berpunca daripada nafsu ialah akibat ia sentiasa keluh resah. Kehendak nafsu sentiasa dalam keadaan membara dan tidak terkawal. Kehendak ini mudah menjurus kepada kesan buruk dan merugikan. Nafsu buruk dikuasai oleh hasutan syaitan.
 
Sebenarnya kekuatan dan kelemahan kedua-dua nafsu tersebut dikawal oleh akal dan naluri manusia secara beriringan. Akal dan naluri kemanusiaan menentukan ke arah nafsu manakah yang lebih menguasai diri. 

Kebijaksanaan akal dan kekuatan naluri kemanusiaan mengawal nafsu ke arah pemikiran menyeluruh yang memberi nilai tambah kepada kebaikan kehidupan manusia. Manusia berakal kuat menjadikan nafsu sebagai pemangkin melakukan kebaikan. Nafsu dikawal akal sentiasa tidak puas melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, akal jumud dan naluri kebinatangan membawa manusia menempuh kehidupan dalam kegelapan. Akal dikuasai  nafsu kebinatangan tidak mengenal mana yang baik dan mana yang buruk. 

Hakikatnya, nafsu baik dan buruk saling mempengaruhi akal dan naluri untuk memutuskan apakah akan dilakukan. Akal yang dikuasai nafsu baik akan sentiasa terdorong melakukan ketaatan kepada Allah dan menolak unsur keburukan. 

Kekuatan akal menolak keburukan berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan. Insan beriman dikuasai oleh akal yang baik. Sesungguhnya akal yang sentiasa diasuh dengan keimanan dan budi pekerti baik tidak akan mudah terpedaya hasutan syaitan melakukan perbuatan buruk. 

Malah, perbuatan baik yang sebati dalam diri menguasai diri sehingga perbuatan itu begitu mudah untuk dilakukan. Ia menjadi lambang akhlak orang mukmin. Menurut Imam al-Ghazali: “Akhlak ialah sifat yang tertanam di dalam jiwa yang menimbulkan segala perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan fikiran dan pertimbangan.”

Sebaliknya jika fikiran dan naluri dikuasai nilai kejahatan dan sifat kebinatangan, maka tindakan yang dilakukan sudah pasti menyebabkan kesan buruk. Orang bertuhankan kepada nafsu kebinatangan tidak menggunakan kewarasan akal. 

Nafsu buruk membawa manusia menempuh alam kebinasaan di dunia dan menuju ke neraka di akhirat. Orang bernafsu buruk tidak pernah merasai nikmat kehidupan sebenar. Semakin banyak yang diperolehi semakin dirasakan tidak mencukupi. 

Nyata sekali kekuatan hidup manusia bergantung kepada keberkesanan akal memimpin memilih yang terbaik. Walaupun semua manusia dibekalkan dengan otak, tetapi tidak semua menggunakan akal. 

Hakikatnya, di antara otak dengan akal adalah dua perkara berbeza. Otak merupakan sebahagian daripada organ yang terdapat dalam badan manusia. Otak juga terdapat pada haiwan. Otak berfungsi mengawal tugas dan sistem badan. 

Manakala akal pula satu kurniaan Allah paling berharga kepada manusia. Manusia diangkat ke darjat tertinggi berbanding makhluk lain disebabkan dikurniakan akal dan nafsu sekaligus. 

Malaikat hanya dibekalkan dengan akal. Sebab itu malaikat sentiasa patuh kepada Allah dan tidak terdorong melakukan sesuatu bertentangan yang dikuasai nafsu.   

Sedangkan haiwan pula hanya mempunyai nafsu. Haiwan tidak dikehendaki melakukan ibadat dan tidak diberikan balasan pahala dan dosa. Allah mencipta haiwan untuk manfaat kepada manusia dan sebagai perbandingan antara keduanya.    

Justeru, manusia perlu menggunakan kelebihan akal yang dikurniakan Allah. Jangan persia-siakan kelebihan akal. Sesiapa tidak menggunakan akal, lebih tepat dipanggil orang tidak berakal. Orang tidak berakal menjalani kehidupan lebih hina daripada haiwan.

No comments:

Post a Comment