Friday 15 September 2017

Perbezaan otak dan akal

Ada orang guna otak, tetapi tidak guna akal. Otak dan akal ada beza. Otak satu organ mencetus daya ingatan untuk melakukan gerakan fizikal dan naluri. Otak tanpa akal tidak membawa manusia lebih baik atau keterbukaan menerima perkara baru. 

Sebab itu, haiwan yang hanya mempunyai otak tidak mengalami peningkatan hidup. Dari dahulu sehingga sekarang, kehidupan haiwan tidak mengalami kemajuan. Haiwan menggunakan otak sekadar melakukan perkara asas yang perlu untuk hidup seperti makan, minum, tindakan spontan terhadap persekitaran dan nafsu.

Sebaliknya, akal yang menentukan nilai hidup manusia. Sebab itu manusia perlu sentiasa menggunakan akal dan meningkatkan kemampuannya. Jika berdepan dengan sesuatu situasi, jangan sekadar menggunakan otak, tetapi gunakan akal. 

Menggunakan akal tidak menyebabkan ia haus atau kekurangan, sebaliknya ia menjadi lebih berakal. Orang bijak pandai sentiasa berfikir untuk meningkatkan kemampuan akalnya. Banyak ayat al-Quran dan hadis menyuruh manusia menggunakan akal atau berfikir. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal.” - (Surah al-Anam, ayat 32). 

Firman-Nya dalam surah Yasin ayat 68 bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memikirkannya?” Dalam surah adz-Dzariyat ayat 21 firman Allah bermaksud: “Apakah kamu tidak perhatikan.”

Ayat-ayat tersebut secara jelas menyuruh manusia menggunakan akal. Maknanya, sesiapa tidak menggunakan akal sebenarnya menolak anugerah dan perintah Allah. Hal ini perlu sentiasa diberikan ingatan memandangkan fitrah manusia mudah lupa dan lalai. Malah, perkataan manusia dalam kalimah Arab ‘insaan’ membawa erti lalai atau lupa.

Kehidupan ini akan benar-benar bermakna sekiranya kita menggunakan akal pada tingkat maksimun. Sesiapa menggunakan akal, bermakna mendampingi ajaran Rasulullah yang sentiasa mementingkan konsep berfikir, mencari kebenaran dan meningkatkan kebaikan.

Untuk mencari kekuatan akal, kita perlu sentiasa melihat dalam diri sendiri. Sikap muhasabah diri dapat mengingatkan kita arah tujuan sebenar hidup ini. Sesiapa tidak menggunakan kebijaksanaan akal bermakna menolak kurniaan Allah. 

Orang tidak menggunakan akal mudah menjadi mangsa kepada orang cerdik. Orang tidak menggunakan akal juga mudah dikuasai oleh nafsu buruk.