Ada
orang guna otak, tetapi tidak guna akal. Otak dan akal ada beza. Otak satu organ mencetus
daya ingatan untuk melakukan gerakan fizikal dan naluri. Otak tanpa akal
tidak membawa manusia lebih baik atau keterbukaan menerima perkara baru.
Sebab
itu, haiwan yang hanya mempunyai otak tidak mengalami peningkatan hidup. Dari dahulu sehingga sekarang, kehidupan haiwan tidak mengalami kemajuan. Haiwan menggunakan otak sekadar melakukan perkara asas yang perlu untuk hidup
seperti makan, minum, tindakan spontan terhadap persekitaran dan nafsu.
Sebaliknya,
akal yang menentukan nilai hidup manusia. Sebab itu manusia perlu
sentiasa menggunakan akal dan meningkatkan kemampuannya. Jika berdepan
dengan sesuatu situasi, jangan sekadar menggunakan otak, tetapi gunakan
akal.
Menggunakan
akal tidak menyebabkan ia haus atau kekurangan, sebaliknya ia menjadi lebih
berakal. Orang bijak pandai sentiasa berfikir untuk meningkatkan
kemampuan akalnya. Banyak
ayat al-Quran dan hadis menyuruh manusia menggunakan akal atau berfikir. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal.” - (Surah
al-Anam, ayat 32).
Firman-Nya
dalam surah Yasin ayat 68 bermaksud: “Maka apakah mereka tidak
memikirkannya?” Dalam surah adz-Dzariyat ayat 21 firman Allah bermaksud:
“Apakah kamu tidak perhatikan.”
Ayat-ayat
tersebut secara jelas menyuruh manusia menggunakan akal. Maknanya,
sesiapa tidak menggunakan akal sebenarnya menolak anugerah dan perintah
Allah. Hal ini perlu sentiasa diberikan ingatan memandangkan fitrah
manusia mudah lupa dan lalai. Malah, perkataan manusia dalam kalimah Arab
‘insaan’ membawa erti lalai atau lupa.
Kehidupan
ini akan benar-benar bermakna sekiranya kita menggunakan akal pada tingkat
maksimun. Sesiapa menggunakan akal, bermakna mendampingi ajaran
Rasulullah yang sentiasa mementingkan konsep berfikir, mencari kebenaran dan
meningkatkan kebaikan.
Untuk
mencari kekuatan akal, kita perlu sentiasa melihat dalam diri sendiri. Sikap muhasabah diri dapat mengingatkan kita arah tujuan sebenar hidup
ini. Sesiapa tidak menggunakan kebijaksanaan akal bermakna menolak
kurniaan Allah.
Orang
tidak menggunakan akal mudah menjadi mangsa kepada orang cerdik. Orang
tidak menggunakan akal juga mudah dikuasai oleh nafsu buruk.
No comments:
Post a Comment