Thursday 14 December 2017

Cara berfikir penentu nilai hidup

Akal itu telinga hati. Jika apa didengar dan dilihat itu perkara yang baik, nescaya seorang itu akan dapat menuai sebanyak mungkin kebaikan. Begitu juga jika ruang fikiran dipenuhi kejernihan ilmu, cara berfikir yang baik akan menghasilkan pemikiran positif.

Saidatina Aisyah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, "Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia.

Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat.

Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya." (Riwayat Tirmidzi)

Cara seseorang berfikir mempengaruhi hatinya. Begitu juga dalaman diri menentukan luaran kerana seorang yang hatinya tidak tenang tidak akan mampu tersenyum ikhlas atau bertindak dengan baik.

Pada waktu tertentu, hati mencorakkan cara kita berfikir, tetapi dalam banyak waktu akal menentukan corak dan bentuk fikiran seterusnya hati. Sebab itu golongan bijak pandai menyebut, akal itu pelita bagi hati.

Pakar psikologi menyebut, manusia sering membazirkan masa kepada perkara yang sama. Banyak orang fokus kepada hasil bukan proses.

Bagaimanapun, setiap orang yang mendapat hasil bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna.

Contohnya, seorang yang jahat kemudian berubah menjadi orang alim yang baik. Ia berlaku kerana proses yang dilalui seperti mendekatkan diri dengan orang alim, banyak menuntut ilmu, bermujahadah dan istiqamah sehingga menjadi seorang insan yang baik serta berilmu.

Justeru, apa yang kita lakukan setiap hari akan menentukan hasil yang diperoleh. Jika waktu yang dimiliki dibazirkan dengan perkara sia-sia, ia tidak akan mendatangkan kejayaan melainkan kegagalan.

Pakar menyebut, kegagalan seorang itu kerana tidak menggunakan waktu dengan bijak. Orang berjaya menggunakan masa dengan rutin yang produktif seperti mengisi waktu dengan ilmu, kuat bekerja, banyak amal ibadat kepada Allah SWT.

Antara perbuatan menentukan kita memperoleh kejayaan ialah cara berfikir. Corak fikiran positif akan mempengaruhi hati yang stabil seterusnya mempengaruhi setiap tindak tanduk.

Oleh itu, kita perlu mengawal corak fikiran kerana ia mempengaruhi emosi dan tindakan yang bakal diambil. Cerdik pandai menyebut, fikiran bukan apa yang kita fikirkan mengenai diri.

Ramai orang berfikir dan mendakwa dirinya positif serta baik, tetapi ia tidak diterjemahkan dalam corak pemikirannya.

Ertinya, apa yang kita fikir, ucap, digerakkan melalui rasa, emosi dan ditunjukkan melalui perbuatan. Itulah yang disebut corak fikiran kita bukan perasaan atau penilaian terhadap diri sendiri.

Hakikatnya, kita sendiri boleh membuat penilaian terhadap diri. Sepanjang hari berapa banyak kita bersangka baik terhadap orang lain, sejauh mana kita positif dengan persekitaran kita dan bagaimana kita berdepan dengan situasi dilalui.

No comments:

Post a Comment